Rabu, 12 Disember 2018

Sejarah Kampung Kuala Pari.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dengan nama Allah tuhan sekalian alam.

  Kampung Kuala Pari adalah sebuah perkampungan melayu. Ia terletak berhampiran bandaraya Ipoh dan diantara pekan Menglembu. Kampung ini juga unik kerana berada di persisiran dan pertemuan di antara dua sungai yang yang terkenal di Ipoh. Iaitu sungai Kinta dan sungai Pari.
Tidak mustahil nama kampung ini diangkat dari pertemuan dua kuala sungai ini.
  Kampung Kuala Pari berusia hampir 100 tahun mengikut tarikh yang didaftarkan di pejabat Tanah negeri Perak pada tahun 1937. Ia menjadikan kampung ini diantara kampung tertua di Ipoh selain Kampung Paloh dan Kampung Kuchai yang terletak berhampiran. 
  Kampung Kuala Pari terbahagi 3 bahagian. Ia bermula dengan Kuala Pari hulu
dan dipisahkan oleh sebatang anak sungai. Selepas anak sungai tersebut anda akan memasuki Kuala Pari tengah. Jika anda meneruskan perjalanan ke arah hilir sungai Kinta terdapat kawasan perkuburan kampung Kuala Pari dan kini anda akan memasuki Kuala Pari hilir. Nama Kuala Pari hulu,tengah dan hilir begitu senonim dengan penduduk kampung bahkan mereka yang bermastautin di Ipoh.
  Mengikut cerita orang-orang tua di kampung ini, kampung Kuala Pari diterokai oleh seorang individu bergelar Pak Sangkan. Beliau telah meneroka tanah di Kuala Pari hulu bersama- sama rakannya seperti Haji Yunus dan Pak Kulup Hitam. Haji Yunus diangkat sebagai ketua kampung yang yang pertama. Selepas beberapa tahun semakin ramai orang melayu teroka tanah di Kuala Pari ini berikutan kepadatan penempatan di Kampung Paloh dan Kampung Kuchai.
pertemuan 2 kuala sungai Kinta dan sungai Pari

gambar arwah ketua kampung Pak Sangkan.
  Dengan penambahan penduduk di kampung ini yang semakin ramai,sebuah surau didirikan bagi tujuan ibadat dan pengurusan kampung. Surau yang pertama didirikan terletak di Kuala Pari hulu. Sekian lama, surau berkenaan tidak dapat lagi menampung sejumlah ahli kariah kampung. Ketua kampung ketika itu mengambil inisiatif memohon kepada Jabatan Ugama Islam Perak untuk mendirikan sebuah masjid untuk keperluan kampung . Secara kebetulan sekitar kampung- kampung berhampiran tidak mempunyai kemudahan masjid selain Masjid Kampung Paloh ketika itu. Setelah diluluskan dan mendapat peruntukan dari Jabatan Ugama Islam Perak sebuah masjid didirikan di Kuala Pari tengah pada tanggal 11 September 1963. Masjid bersturuktur batu ini dinamakan sebagai Masjid Idrisiah. Nama ini diambil sempena nama Sultan Idris Shah yang ketika itu yang memayungi kerajaan negeri Perak. Mungkin secara kebetulan atau tidak anda pasti tidak perasan nama masjid Kuala Pari seakan sama dengan nama Masjid Negeri Perak yang terletak di bandaraya Ipoh. Masjid negeri Perak atau dikenali sebagai Masjid Idris Shah II dibina selepas masjid Kuala Pari. Hingga kini kerabat Sultan Perak masih lagi menunaikan ibadat di masjid Kuala Pari terutama ketika solat fardhu Jumaat.
mimbar asal Masjid Idrisiah.
senarai ajk masjid .










Masjid Idrisiah Kuala Pari

















Sebuah sekolah juga dibina bagi memenuhi keperluan penduduk kampung dan kampung-kampung berhampiran. Sekolah Kebangsaan Kuala Pari didirikan pada tahun 1951
dengan status sekolah luar bandar.Dewan orang ramai juga dibina untuk kegunaan masyarakat kampung supaya dapat menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan kampung yang dibina pada tahun 60-an. Terdapat juga Pondok Polis didirikan untuk menjaga keselamatan kampung.
   Kini penduduk kampung Kuala Pari berbangga kerana memiliki sebuah lagi dewan baharu. Dinamakan dengan Dewan Komuniti Kuala Pari. Selain aktiviti kampung ia juga dapat menjana hasil kepada kampung dengan penyewaan dewan untuk majlis-maslis kahwin dan sebagainya. Berhampiran dewan terdapat lot-lot kedai sebanyak 4 buah dengan kemudahan tandas untuk menjana ekonomi penduduk kampung. Ia dinamakan Benteng Selera.
S.K.Kuala Pari




















lot kedai makan dan Dewan Komuniti


Dari segi politikal dahulu kampung ini terbahagi kepada 2 bahagian dan 2 ketua kampung diikuti JKK masing-masing. Kuala Pari hulu dan Kuala Pari tengah berada di parlimen Ipoh timor. Manakala Kuala Pari hilir berada di parlimen Batu Gajah. Sebelum Pilihanraya Umum ke-14 kerajaan Malaysia melalui Suruhan Pilihanraya telah menstruktur kembali kawasan-kawasan parlimen. Kini kampung Kuala Pari hulu, tengah dan hilir berada dalam satu parlimen iaitu Parlimen Ipoh timor. Akan tetapi Kuala Pari masih lagi menjadi satu-satunya kampung yang unik di Malaysia kerana memiliki dua ketua kampung dan dua MPKK.
Pasaraya Besar Giant Falim
Aeon Big Falim
  Kini anda dapat melihat begitu pesat pembanggunan berlaku sekitar kampung seperti binanya Pasaraya besar Aeon dan Pasaraya Giants. Tetapi Kampung Kuala Pari terus kukuh berada di tempatnya. Janganlah perbezaan pendapat dan idealogi menjadi jurang pemisahan di antara ahli kariah. Mudah-mudah ahli-ahli kariah kampung terus menerus bersatu demi nama KAMPUNG KUALA PARI. 

#Terima kasih kepada Haji Mohd Hanif bin Mohd  Ali sekeluarga atas informasi.
#Tidak lupa terima kasih kepada waris keluarga Pak Sangkan atas infomasi dan gambar.
#Terima kasih diatas kerjasama ketua kampung Cikgu Mohd Tahir bin Mohd Ramly

Tiada ulasan:

Catat Ulasan