Rabu, 12 Disember 2018

Sejarah Kampung Kuala Pari.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dengan nama Allah tuhan sekalian alam.

  Kampung Kuala Pari adalah sebuah perkampungan melayu. Ia terletak berhampiran bandaraya Ipoh dan diantara pekan Menglembu. Kampung ini juga unik kerana berada di persisiran dan pertemuan di antara dua sungai yang yang terkenal di Ipoh. Iaitu sungai Kinta dan sungai Pari.
Tidak mustahil nama kampung ini diangkat dari pertemuan dua kuala sungai ini.
  Kampung Kuala Pari berusia hampir 100 tahun mengikut tarikh yang didaftarkan di pejabat Tanah negeri Perak pada tahun 1937. Ia menjadikan kampung ini diantara kampung tertua di Ipoh selain Kampung Paloh dan Kampung Kuchai yang terletak berhampiran. 
  Kampung Kuala Pari terbahagi 3 bahagian. Ia bermula dengan Kuala Pari hulu
dan dipisahkan oleh sebatang anak sungai. Selepas anak sungai tersebut anda akan memasuki Kuala Pari tengah. Jika anda meneruskan perjalanan ke arah hilir sungai Kinta terdapat kawasan perkuburan kampung Kuala Pari dan kini anda akan memasuki Kuala Pari hilir. Nama Kuala Pari hulu,tengah dan hilir begitu senonim dengan penduduk kampung bahkan mereka yang bermastautin di Ipoh.
  Mengikut cerita orang-orang tua di kampung ini, kampung Kuala Pari diterokai oleh seorang individu bergelar Pak Sangkan. Beliau telah meneroka tanah di Kuala Pari hulu bersama- sama rakannya seperti Haji Yunus dan Pak Kulup Hitam. Haji Yunus diangkat sebagai ketua kampung yang yang pertama. Selepas beberapa tahun semakin ramai orang melayu teroka tanah di Kuala Pari ini berikutan kepadatan penempatan di Kampung Paloh dan Kampung Kuchai.
pertemuan 2 kuala sungai Kinta dan sungai Pari

gambar arwah ketua kampung Pak Sangkan.
  Dengan penambahan penduduk di kampung ini yang semakin ramai,sebuah surau didirikan bagi tujuan ibadat dan pengurusan kampung. Surau yang pertama didirikan terletak di Kuala Pari hulu. Sekian lama, surau berkenaan tidak dapat lagi menampung sejumlah ahli kariah kampung. Ketua kampung ketika itu mengambil inisiatif memohon kepada Jabatan Ugama Islam Perak untuk mendirikan sebuah masjid untuk keperluan kampung . Secara kebetulan sekitar kampung- kampung berhampiran tidak mempunyai kemudahan masjid selain Masjid Kampung Paloh ketika itu. Setelah diluluskan dan mendapat peruntukan dari Jabatan Ugama Islam Perak sebuah masjid didirikan di Kuala Pari tengah pada tanggal 11 September 1963. Masjid bersturuktur batu ini dinamakan sebagai Masjid Idrisiah. Nama ini diambil sempena nama Sultan Idris Shah yang ketika itu yang memayungi kerajaan negeri Perak. Mungkin secara kebetulan atau tidak anda pasti tidak perasan nama masjid Kuala Pari seakan sama dengan nama Masjid Negeri Perak yang terletak di bandaraya Ipoh. Masjid negeri Perak atau dikenali sebagai Masjid Idris Shah II dibina selepas masjid Kuala Pari. Hingga kini kerabat Sultan Perak masih lagi menunaikan ibadat di masjid Kuala Pari terutama ketika solat fardhu Jumaat.
mimbar asal Masjid Idrisiah.
senarai ajk masjid .










Masjid Idrisiah Kuala Pari

















Sebuah sekolah juga dibina bagi memenuhi keperluan penduduk kampung dan kampung-kampung berhampiran. Sekolah Kebangsaan Kuala Pari didirikan pada tahun 1951
dengan status sekolah luar bandar.Dewan orang ramai juga dibina untuk kegunaan masyarakat kampung supaya dapat menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan kampung yang dibina pada tahun 60-an. Terdapat juga Pondok Polis didirikan untuk menjaga keselamatan kampung.
   Kini penduduk kampung Kuala Pari berbangga kerana memiliki sebuah lagi dewan baharu. Dinamakan dengan Dewan Komuniti Kuala Pari. Selain aktiviti kampung ia juga dapat menjana hasil kepada kampung dengan penyewaan dewan untuk majlis-maslis kahwin dan sebagainya. Berhampiran dewan terdapat lot-lot kedai sebanyak 4 buah dengan kemudahan tandas untuk menjana ekonomi penduduk kampung. Ia dinamakan Benteng Selera.
S.K.Kuala Pari




















lot kedai makan dan Dewan Komuniti


Dari segi politikal dahulu kampung ini terbahagi kepada 2 bahagian dan 2 ketua kampung diikuti JKK masing-masing. Kuala Pari hulu dan Kuala Pari tengah berada di parlimen Ipoh timor. Manakala Kuala Pari hilir berada di parlimen Batu Gajah. Sebelum Pilihanraya Umum ke-14 kerajaan Malaysia melalui Suruhan Pilihanraya telah menstruktur kembali kawasan-kawasan parlimen. Kini kampung Kuala Pari hulu, tengah dan hilir berada dalam satu parlimen iaitu Parlimen Ipoh timor. Akan tetapi Kuala Pari masih lagi menjadi satu-satunya kampung yang unik di Malaysia kerana memiliki dua ketua kampung dan dua MPKK.
Pasaraya Besar Giant Falim
Aeon Big Falim
  Kini anda dapat melihat begitu pesat pembanggunan berlaku sekitar kampung seperti binanya Pasaraya besar Aeon dan Pasaraya Giants. Tetapi Kampung Kuala Pari terus kukuh berada di tempatnya. Janganlah perbezaan pendapat dan idealogi menjadi jurang pemisahan di antara ahli kariah. Mudah-mudah ahli-ahli kariah kampung terus menerus bersatu demi nama KAMPUNG KUALA PARI. 

#Terima kasih kepada Haji Mohd Hanif bin Mohd  Ali sekeluarga atas informasi.
#Tidak lupa terima kasih kepada waris keluarga Pak Sangkan atas infomasi dan gambar.
#Terima kasih diatas kerjasama ketua kampung Cikgu Mohd Tahir bin Mohd Ramly

Khamis, 29 November 2018

Aktiviti-aktiviti MPKK Kuala Pari  sepanjang bulan November 2018.

  Sejak penubuhan MPKK Kuala Pari berbagai aktiviti-aktiviti telah dirancang oleh biro-biro MPKK pada bulan November. Ia bermula dengan mesyuarat yang di pengerusikan oleh ketua kampung. Sebahagian dari perancangan telah dapat dilaksanakan dengan izin Allah s.w.t.
  Berikut adalah aktiviti-aktiviti yang dijalankan dan alhamdulillah mendapat sokongan dari seluruh warga kampung Kuala Pari.


Mesyuarat MPKK Kuala Pari yang dijalankan di Dewan Komuniti Kuala Pari.

Gotong-royong yang diadakan julung kali oleh MPKK Kuala Pari berlokasi di jambatan kampung.

Majlis program gotong-royong MPKK Kuala Pari & MPKK Kuala Pari hilir bersama ahli majlis DBI di lokasi flyover pasar borong.Turut serta gabungan warga Kuala Pari.

Sebahagian daripada penerima sumbangan Program Bantuan Makanan dari Yayasan Negeri Perak yang berjumlah 50 kotak yang diaggihkan kepada mereka yang layak.

Kerja-kerja membaiki lampu jalan di sepanjang jalan melibatkan Kuala Pari hulu dan Kuala Pari tengah setelah aduan dibuat.
Kerja-kerja merintis dahan-dahan pokok berhampiran tiang lampu jalan di sekitar kampung yang dijalankan oleh kontraktor TNB.

Selain itu MPKK Kuala Pari telah menyampaikan borang Bantuan Persekolahan daripada Yayasan Negeri Perak kepada anak-anak kariah kampung Kuala Pari sebanyak 25 borang kepada keluarga yang layak.


PENGGENALAN MPKK KUALA PARI

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Selamat datang ke halaman MPKK KUALA PARI.

 MPKK KUALA PARI atau dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kuala Pari ditubuhkan pada tanggal 29 Oktober 2018.
 Dianggotai seramai 13 orang anak jati kampung Kuala Pari. MPKK dinaungi di bawah setiap Setiausaha Kerajaan Negeri. Setiap kampung di Malaysia harus menubuhkan MPKK di atas persetujuan parlimen selepas Pilihanraya Umum ke-14. Ia bagi menggantikan Jawatankuasa Kampung atau sebelum ini ini dikenali JKK tetapi tugas dan fungsinya masih sama.
 MPKK Kuala Pari di pengerusikan oleh Ketua kampung dan terdapat 12 biro mengikut portfolio masing- masing.

 Struktur organisasi MPKK KUALA PARI

1.Encik Mohd Tahir  bin Mohd Ramly
   (Pengerusi/ Ketua Kampung)
2.Cik Syarifah Nor Sophia binti Syed                 Shahrom
   (Setiausaha)
3.Encik Tahir Rudin bin Ahmad
   (Pengurus Kewangan)
4.Encik Nasir Affendi bin Mohamed Zakaria
   (Pembangunan)
5.Encik Hussen bin Mat Isa
   (Keselamatan & Kesihatan)
6.Encik Zulkepli bin Yahya
   (Keagamaan & Kerohanian)
7.Encik Syed Shahrom bin Syed Agil
   (Pendidikan & Inovasi)
8.Encik Azhar bin Zainal
   (Ekonomi)
9.Puan Suhaila binti Salleh Omar
   (Kebajikaan)
10.Encik Ahmad Nazari bin Ahmad Daman
     Huri
    (Infrastruktur)
11.Encik Mohd Yussof bin Md. Noor
    (Keceriaan & Keselesaan)
12.Encik Alifadzrin bin Alias
    (Belia & Sukan).
13.Puan Saluah binti Abd Hamid
    (Hal Ehwal Wanita).

ANDA JUGA BOLEH MELAYARI DI FACEBOOK MPKK KUALA PARI